Gambar sgt cun adinda TMJ, Tunku Aminah. (10 Foto)










Impian puteri raja

Puteri tunggal Tunku Mahkota Johor pilih bidang kecantikan sebagai kerjaya pertama.


Tunku Aminah Maimunah Iskandariah



PERTEMUAN ini diatur di Coffee Bean Plaza Pelangi, Johor Bahru pada petang Ahad minggu lalu. Lokasi yang sering dikunjungi eksekutif muda di bandar raya ini dipilih sendiri oleh Tunku Aminah Maimunah Iskandariah.
Gadis ini ternyata mahu sembang santai mengenai produk kecantikan jenamanya sendiri, Luvins, begitu juga kehidupan peribadinya sebagai puteri tunggal Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar.
“Ayahanda mahu saya berdikari. Ayahanda tidak ingin saya hanya duduk ‘goyang kaki’ dan tidak melakukan apa-apa untuk memajukan diri,” lancar tutur kata meluncur dari bibirnya.
Tunku Aminah bakal muncul dengan Luvins dalam masa terdekat, dengan beliau bertindak sebagai pengarah dan pereka produk.
Dari sisi rakyat jelata, cucunda Sultan Johor ini sudah memiliki segala-galanya sesuai status seorang puteri diraja. Ringkas cerita, apa saja yang beliau hajati boleh dipenuhi dengan mudah oleh si ayahanda.
Namun sinar matanya memberitahu beliau seorang yang obses dengan kehidupan dan fokus terhadap cita-cita. Malah menurut Tunku Aminah, ayahandanya selalu berpesan supaya beliau sentiasa mencari peluang untuk mendapatkan wang sendiri dan tidak hanya berpeluk tubuh.
Dan pada usia 21 tahun, beliau memilih bidang kecantikan. “Tapi pada mulanya saya bercita-cita menjadi seorang pereka fesyen,” pintas Tunku Aminah yang mendapat galakan tidak berbelah bagi daripada Tunku Ibrahim dan bonda Raja Zarith Sofia Almarhum Sultan Idris.
“Apa yang paling penting dalam hidup ialah restu kedua ibu bapa. Itulah yang selalu diajar sejak kecil,” ujarnya seakan berfalsafah.
Minat Tunku Aminah untuk berkecimpung dalam bidang kosmetik muncul selepas bertemu dengan pengasas produk Citra Ayu dari Indonesia, Dr. Anisah Umar. Anisah sememang dikenali di negara ini sejak tahun 1980-an lagi dan keluarga Tunku Aminah sudah lama mengenali Anisah iaitu sekitar tahun 1987.
“Sebenarnya saya bekolaborasi dengan Dr. Anisah yang saya panggil ‘ibu’ kerana beliau mempunyai kepakaran dalam menghasilkan produk kecantikan,” tutur Tunku Aminah jujur.
Jenama Luvins setakat ini merangkumi lima produk iaitu sabun pencuci muka, tonik pencerahan wajah, krim penahan sinaran matahari, krim pencerah dan pelembap kulit.


LUVINS, seni kecantikan diraja daripada Tunku Aminah.



Nama Luvins, kata Tunku Aminah, diilhamkan olehnya dan ia tercetus secara tidak sengaja melalui e-mel bersama rakan-rakan.
“Biasanya di akhir e-emel ditulis ‘love in’, lama-kelamaan ia menjadi ‘luvin’. Secara kebetulan nama panggilan saya di kalangan rakan-rakan ialah Ina.
“Jadi saya gabungkan ‘Luv‘ dengan ‘In’,” cerita beliau yang hadir dalam persalinan blaus hitam dipadankan dengan jean berwarna biru gelap.
Tunku Aminah mendapat pendidikan awal di Tadika Hiltop, sebelum ke Sekolah Convent Johor Bahru. Beliau sempat menyambung pelajaran di sebuah antarabangsa di Singapura, kemudian mengambil A Level di Kolej Salle, juga di negara seberang tambak.
Sebagai puteri tunggal, tidak hairanlah Tunku Aminah menjadi tumpuan dalam keluarga. Malah sebuah bot peribadi mewah milik ayahandanya dinamakan ‘Aminah’, dipercayai sebagai tanda kasih baginda kepada sang puteri.
Lima lagi putera Tunku Ibrahim dan Raja Zarith Sofia ialah Tengku Ismail, 24, Tengku Idris, 20, Tengku Abdul Jalil, 18, Tengku Abdul Rahman, 15, dan Tengku Abu Bakar, 7.
“Saya sebenarnya lebih manja dengan ayahanda, mungkin disebabkan saya satu-satunya puteri daripada enam adik-beradik,” ujar Tunku Aminah disulami ketawa kecil.
Bagaimanapun pantas Tunku Aminah menambah: “Meskipun seorang puteri, tidak semua yang dikehendaki akan ditunaikan oleh ayahanda.”
Ini kerana Tunku Ibrahim telah mengajar anak-anaknya sejak kecil supaya tidak menunjuk-nunjuk dan menjadi insan yang merendah diri, selain menghormati orang lain.
Tunku Aminah sememangnya berperwatakan sederhana dan tidak terlalu menonjolkan dirinya sebagai seorang puteri diraja.
Sekalipun sentiasa mengikuti perkembangan fesyen, beliau patuh pada satu prinsip - Boleh pakai saja asalkan tidak terlalu mendedahkan tubuh.
“Ayahanda seorang bapa yang tegas, dalam erti kata tidak terlalu mengongkong dan tidak begitu membiarkan kami bebas.
“Ayahanda ingin anak-anaknya menjadi insan terbaik dalam hidup ini.”
Mengenai orang yang paling dikaguminya setakat hayatnya, dengan yakin Tunku Aminah menjawab: “Bonda saya kerana beliau seorang yang mengambil berat bukan sahaja kepada keluarga, malah rakyat jelata.
“Apa yang paling saya suka tentang bonda ialah beliau menulis sendiri ucapan bagi setiap program yang dihadiri tanpa memerlukan bantuan sesiapa,” tokok Tunku Inah, panggilan mesranya.
Tetapi menurutnya lagi, ini tidak bermakna beliau kurang menghargai peranan ayahandanya, yang juga sentiasa mengambil berat tentang kebajikan rakyat.
Sebagai contoh, ujarnya, program Kembara Mahkota Johor (KMJ) yang diadakan setiap tahun membuktikan keprihatinan baginda kepada orang kebanyakan.
Bagi Tunku Aminah dan adik-beradik yang lain, ayahanda mereka ialah orang yang paling kelakar di dunia.
“Ada sahaja lawak yang dibuatnya ketika berkumpul bersama keluarga,” katanya yang mengakui sentiasa menjadi perhatian orang, lebih-lebih lagi daripada gadis sepertinya.
Namun seperti yang dikatakan tadi, semua itu dilalui dengan tenang tanpa menunjuk-nunjuk.
“Biarlah saya hidup sebagai seorang puteri yang sederhana sahaja,” katanya.

Contact Form

Name

Email *

Message *