Juraian Air Mata di Majlis Berinai Elly Mazlein (8 Foto)

juraian air mata di majlis berinai elly mazlein

KUALA LUMPUR, 9 NOV 2014: Juraian air mata nampaknya membasahi majlis berinai penyanyi cantik Elly Mazlein yang telah diadakan di kediaman keluarganya di Puchong, malam tadi.
Ini kerana Elly Mazlein atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi itu tidak dapat menahan sebak di dada mengenangkan pemergian ibu tercinta Hj Sabariah Bt Ahmad pada Mei lalu.
Tidak sudah-sudah air mata mengalir di pipinya terutama ketika acara berzanzi, marhaban dan doa yang telah dijalankan oleh kumpulan Marhaban Insyirah.

Elly Mazlein yang kelihatan cantik dengan persalinan rekaan Butik Busana Cinta, ternyata tidak dapat membendung perasaan itu apatah lagi Allahyarham ibunya mempunyai hubungan sangat rapat dengannya, selain terkilan kerana tidak dapat berkongsi hari bermakna itu bersama insan yang paling disayangi dalam hidupnya.

Namun kesedihan itu telah dapat diredekan dengan kehadiran ayah tercinta, Syed Hanafi Syed Abdullah yang tidak sudah-sudah memujuk anak kesayangannya itu.

Majlis berinai serba sederhana itu telah dihadiri keluarga terdekat yang datang dari Pulau Pinang, Perak dan tidak ketinggalan dari ibu negara sendiri.
Dalam masa yang sama, turut diadakan majlis berinai secara serentak di kediaman bakal suaminya, Azmi Mohd Hata di kediaman keluarganya di Seremban.

Elly Mazlein dan Azmi Hata bakal diijab kabulkan sekitar jam 11 pagi ini di Surau As-Sakinah, Putra Perdana, Puchong.
Pemilihan surau berkenaan adalah kerana berhampiran dengan pusara Allahyarham ibundanya.

(UPDATED)





Contact Form

Name

Email *

Message *